Home » » Terkulai cinta Internet

Terkulai cinta Internet

Bermodalkan ayat ‘power’ dan wajah kacak, segelintir lelaki hidung belang bijak menjerat cinta gadis remaja menggunakan laman sosial di Internet untuk menjadi pemuas nafsu mereka.

Sasaran mereka, gadis remaja yang kemaruk melayari laman sosial untuk mencari kenalan hingga jatuh cinta dan seterusnya menyerahkan kehormatan diri.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Azie, 21, ketika ditemui berkata, dia berkenalan dengan seorang jejaka berumur 20 tahun bernama Muaz melalui sebuah laman sosial popular di Internet.

“Selepas seminggu berkenalan melalui laman Myspace, saya mula jatuh cinta kepadanya dan kami berjumpa buat kali pertama di sebuah pusat beli-belah,” katanya yang juga penuntut pengajian syariah di sebuah kolej swasta di ibu negara.


Selepas hampir dua bulan berkenalan, kekasihnya mula menunjukkan belang apabila kerap memujuk gadis berasal dari Sabah itu untuk melakukan hubungan seks.

“Saya tak menyangka dia akan meminta melakukan perkara terkutuk itu kerana dia berasal daripada keluarga yang warak.


“Walaupun beberapa kali menolak permintaannya, godaan syaitan lebih dahsyat hingga saya layu di pangkuannya,” katanya yang kini hamil dua bulan hasil hubungan terlarang itu.

Selepas disahkan mengandung, lelaki itu mula bersikap lepas tangan apabila enggan bertanggungjawab.

Bimbangkan perkara lebih buruk terhadapnya, Azie menceritakan perbuatan mereka kepada keluarga lelaki terbabit, tetapi kecewa kerana mereka enggan mendedahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

“Mereka hanya membantu mendapatkan rumah perlindungan sementara menantikan kelahiran bayi saya, manakala lelaki itu bebas meneruskan kehidupan sehariannya,” katanya.

Dia pula terpaksa menangguhkan pengajiannya bagi mengelak kehamilan luar nikahnya diketahui pihak kolej.

“Jika perbuatan saya terbongkar, saya akan dibuang kolej dan pasti akan mengecewakan keluarga di Sabah,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Rozie, 20, dari Ampang tidak menyangka perkenalan dengan seorang jejaka melalui laman sosial Facebook bakal menjadi titik hitam dalam hidupnya.

Katanya, menerusi laman sosial itu, Boy dilihat seolah-olah tidak mempunyai ramai rakan perempuan berikutan tiada kenalan wanita dalam senarai sahabatnya.

“Ini menyebabkan saya menganggap Boy bukan kaki perempuan dan boleh dipercayai.

“Kami bertemu buat kali pertama apabila dia mengajak saya ke majlis hari jadi rakannya,” kata Rozie yang jatuh cinta dengan Boy yang bersopan santun dan pandai menjaga hatinya.

“Di tempat kerja, saya kerap diganggu lelaki, tetapi Boy pula sering mengambil berat dengan menjaga saya daripada diganggu mereka,” katanya yang bertugas sebagai pakar kecantikan di ibu kota.

Akibat terlalu percayakan lelaki itu, Rozie mengandung hasil hubungan terlarang mereka selepas setahun menjalin cinta. “Boy menyuruh saya menggugurkan kandungan dengan alasan belum bersedia menjadi bapa, tetapi saya enggan menyebabkan dia meninggalkan saya tanpa khabar berita,” katanya yang enggan membuat laporan polis dengan alasan masih terkejut dengan nasib dirinya.

Turut berkongsi masalah sama, Wani, 25, pelajar kolej swasta di Pahang.

Perkenalan dengan Zul, jejaka dari Melaka menjadikannya hilang pedoman sehingga terlanjur, tetapi lelaki itu enggan bertanggungjawab.

“Kami berjumpa selepas tiga minggu berkenalan melalui laman sosial Friendster.

“Zul sanggup datang dari Melaka ke Pahang semata-mata untuk bertemu saya ketika kami bermadu kasih,” katanya yang terpaksa menangguh pengajian dalam bidang perakaunan kerana kini hamil dua bulan.

“Mungkin disebabkan tak pernah bercinta sebelum ini menjadikan saya hanyut dibuai janji manis lelaki durjana itu,” katanya yang berharap gadis lain tidak terjebak jerat cinta Internet.

Oleh Amirul Haswendy Ashari



1 Komen:

Tanpa Nama berkata...

x pe saya leh tolong . hubungi saya 019-6626291 muhammad

Catat Ulasan

 
Chatroom