Home » » Rakyat Malaysia kuat makan, kurang bersenam

Rakyat Malaysia kuat makan, kurang bersenam

Obesiti meningkat lebih 150 peratus. Demikian laporan serta pernyataan ramai pakar. Ia berdasarkan analisis dari 1996 hingga 2006 ke atas masyarakat Malaysia yang memiliki Indeks Jisim Tubuh (BMI) lebih 30.

Fenomena ini memberi erti masyarakat Malaysia kuat makan dan pada masa sama kurang bersenam. Namun, secara kasar amalan makan-makan jauh mengungguli amalan kurang bersenam. Suasana, aktiviti, fasiliti serta acara berkaitan makan-makan begitu meriah berterusan selama 24 jam.

Penyakit akibat berlebihan makan yang sering digambarkan sebagai obesiti adalah manifestasi kemakmuran negara, kerancakan ekonomi dan kegembiraan warganya. Aktiviti makan-makan adalah luahan kesyukuran dan kegembiraan kerana memperoleh rezeki. Lalu ia disediakan dan dibelanjakan untuk merai dan menggembirakan hati ahli keluarga, rakan dan handai taulan. Begitulah amalan ini dilakukan. Akhirnya ia menjadi tradisi yang melekat kuat dan erat sebati sebagai aktiviti sosial masyarakat Malaysia.

Obesiti adalah petunjuk tahap kesihatan total seseorang. Mereka yang obes biasanya turut mengalami diabetes, darah tinggi, masalah jantung dan berisiko mendapat strok, kegagalan ginjal dan pelbagai jenis kanser, terutama kanser usus besar. Semuanya ini kerana lebihan kalori, gula, garam, lemak, kolesterol dan bahan yang disebut sebagai radikal bebas daripada aktiviti makan-makan yang berlebihan.

Oleh kerana acara makan-makan tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan sosial masyarakat, konsep pemakanan masyarakat perlu diperhatikan dengan mendalam. Kesilapan berlaku perlu diperbetulkan.

Jika makan-makan yang menjadi amalan masyarakat disebabkan lapar mata dan lemah rasa, tiba masanya ia dibimbing oleh ilmu dan akal yang betul. Ini kerana makan terbaik ialah makan kerana kesihatan, bukan kerana turutkan rakan dan kawan.

Dengan mengakui "badan aku dah kembang, gula aku dah naik, tekanan darah aku dah parah dan kolesterol aku dah tinggi," remedi terbaik ialah meneliti semula corak pemakanan yang mungkin besar tidak betul dan mengubahnya kepada cara pemakanan menyihatkan dan boleh mengubati. Adalah silap jika ubat-ubatan dijadikan alternatif, manakala makanan tambahan atau suplementari dijadikan pilihan.

Kenapa biar makan sampai memakan diri hingga menyebabkan penyakit? Bolehkah makanan dijadi ubat?

Apakah makanan yang dapat merawat obesiti, kencing manis, darah tinggi, menurunkan lemak dan kolesterol, ancaman strok, kegagalan jantung, ginjal dan pelbagai jenis kanser?

Ini antara persoalan menarik kerana selama ini makanan hanya dilihat sebagai sesuatu untuk dinikmati sedapnya. Bahkan ada yang hidup semata-mata untuk makan. Kalau ada terfikir kerana kesihatan, ia hanya dilihat kerana khasiat vitamin dan zat galiannya. Tidak ramai menjadikan makan sebagai cara merawat dan membetulkan kelainan yang berlaku. Ini dikatakan konsep `makanan berubat' - baik dimakan atau diminum. Ia bukan saja sedap, mengenyangkan dan puas, tetapi turut mengubati.

Silap jika ia disamakan dengan persediaan herba berubat atau produk lain di pasaran. Meskipun dikatakan memberi nilai kesihatan, ia bukan makanan dalam erti kata sebenar.

Konsep makanan berubat berkisar kepada nilai bioaktif nutraseutikal dimilikinya. Dengan memahami obesiti disebabkan lebihan kalori, akibat pengambilan bahan makanan yang tinggi karbohidrat, amalan pengambilan makanan atau menu rendah karbohidrat (rendah kalori) dan tinggi keupayaan untuk membakar lemak (membakar kalori) adalah konsep makanan berubat yang patut menjadi amalan harian.

Dengan mengubah pilihan makanan kepada kedua-dua ciri disebutkan di atas, dan dengan sedikit olahan dalam cara penyediaannya, tentu faedah kesihatan dapat diperoleh, manakala keenakan makan kekal dinikmati.

Makanan tinggi serat, hidangan berkanji tinggi, makanan berasaskan protein dan buah-buahan adalah pilihan terbukti rendah karbohidrat tapi mengenyangkan. Menu yang mampu meningkatkan metabolisma tubuh dan dapat mengatur pembakaran kalori juga antara pilihan makanan atau minuman yang patut menjadi amalan rutin hidup.

Bagi penghidap diabetes, makanan paling sesuai ialah yang kecil tahap indeks glisemiknya. Indek glisemik ialah kadar serapan glukos sejurus ia diambil. Jika indeksnya besar, ertinya ia mudah diserap, contohnya kurma.

Jika nilai indeks kecil, ertinya ia lambat diserap, contohnya kacang putih. Makanan berindeks glisemik kecil biasanya sukar dihadam kerana memiliki struktur karbohidrat yang sangat kompleks. Penghadaman hanya berlaku selepas ia di fasa terakhir, ketika di usus besar. Dengan tindak balas agen mikrob usus besar, baru glukos diserap, itupun kecil kerana biasanya ia bersedia dikeluarkan sebagai najis.

Beberapa jenis bijirin kekacang antara makanan yang memiliki indeks glisemik kecil, demikian juga makanan berserat degil, justeru ia sesuai dijadikan pemakanan lazim untuk rawatan diabetes.

Apabila makanan begini dihidangkan dengan manisan tidak berasaskan glukos, seperti hidangan yang dimaniskan dengan stevia (sejenis daun) atau manisan tapai termasuk sweetener, lengkaplah pemakanan untuk pesakit diabetes. Pesakit dapat menikmati makan tanpa rasa takut dan risau. Begitupun, kepatuhan mengawal makan masih sebagai langkah terbaik yang patut diamalkan.

Demikian juga dalam permasalahan darah tinggi, banyak kajian saintifik membuktikan amalan mengambil bahan makanan kaya kalium boleh menurunkan dan mengawal tekanan darah. Ini disebabkan kalium bertindak dengan cara bertentangan dengan garam natrium. Ia bertindak dengan memulihkan aliran darah, manakala natrium boleh meningkatkan tekanan darah lantaran darah yang relatif pekat kerana masin.

Bahan makanan tinggi garam kalium termasuk buah-buahan, sayur-sayuran, umbut, rebung, air kelapa muda dan ulam-ulaman. Dengan amalan konsisten, tekanan darah dapat diturunkan secara perlahan-lahan, sekali gus mengurangkan komplikasi akibat tekanan darah tidak terkawal.

Kebaikan garam kalium diperakui menerusi kajian oleh penyelidik dari Institut Karolinska, Stockholm, Sweden, yang mendapati garam kalium dapat menghindari serangan angin ahmar. Pengambilan buah-buahan dan sayuran berkekalan setiap hari, yang mana kandungan kalium melebihi 1,000 mg, berupaya mengekang dan melengahkan risiko strok sehingga 14 tahun.

Masalah pemakanan yang barangkali paling sukar ialah masalah peningkatan lemak dan kolesterol. Ia punca utama serangan jantung dan strok. Menukar pilihan makanan kurang lemak dan kolesterol secara tak langsung boleh mengawal masalah jantung dan strok.

Ada dua cara penting bagaimana kedua-dua bahan ini dapat dikurangkan. Cara pertama ialah banyakkan mengambil makanan yang boleh membakar lemak dan kolesterol, terutama bahan mengandungi epigallocatechin gallate (EGCG) seperti minuman berasaskan teh.

Cara kedua ialah banyakkan mengambil menu yang menyekat dan mengawal penyerapan lemak dan kolesterol iaitu membanyakkan pengambilan makanan berserat tinggi, baik dalam bentuk larut mahupun tidak larut, bersumberkan tumbuhan atau haiwan. Sebahagian besar lemak diperangkap dan disekat daripada diserap.

Apabila amalan mengambil kedua-dua bahan ini menjadi amalan harian, masalah lemak dan kolesterol pasti dapat dirawat tanpa perlu mengambil ubat.

Begitu juga masalah kanser. Kaitannya dengan pemakanan lama dibuktikan. Hubungan masin dan alkohol dengan kanser perut, mengambil daging merah, makanan siap diproses dan kurang serat dengan kanser usus besar, makanan tinggi lemak dan kanser sistem reproduktif wanita dan beberapa kanser lagi adalah contoh ketara bagaimana makanan memberi mudarat.

Jika makanan dikait dengan radikal bebas yang banyak dikait dengan perisa, pewarna, pengawet dan penstabil makanan, keburukan makanan lebih terserlah.

Jadi untuk mengubati kemungkinan kanser yang berputik, cara terbaik ialah mengamalkan pemakanan yang boleh mengelak kanser.

Oleh Dr Khalib Abdul Latiff



 
Chatroom