Home » » Fakta buah-buahan dan khasiat buah

Fakta buah-buahan dan khasiat buah

Fakta buah-buahan:

Limau mandarin
Limau yang manis ini mengandungi 85 peratus air dan hanya 64 kalori. Ini menjadikannya snek rendah kalori yang baik bagi anda yang mahu menjaga potongan badan.

Vitamin C yang kaya dalam buah ini membantu pengeluaran kolagen untuk mengekalkan keanjalan kulit dan mengurangkan kedutan.

Buah-buahan tempatan

Pisang
Sebiji pisang membekalkan 35 peratus daripada keperluan vitamin B6 harian anda. Vitamin B6 yang juga dikenali sebagai piridoksina, penting untuk membantu badan menghasilkan sel baru yang sihat.

Pisang kaya dengan kalium iaitu zat galian yang membentuk sebahagian daripada fungsi saraf dan otot. Kalium mencegah kekejangan ketika bersukan. Itulah sebabnya anda kerap melihat atlet makan pisang ketika berehat.

Pisang juga sumber penting asid amino yang tidak boleh dikeluarkan oleh badan. Oleh itu, kita perlu mendapatkan asid amino daripada makanan. Asid amino adalah blok binaan untuk protein. Sebiji pisang membekalkan asid amino penting untuk tiga peratus protein harian.

Buah naga
Satu hidangan buah naga membekalkan dua gram asid lemak tidak tepu yang sihat untuk jantung dalam bentuk asid lemak lineik dan asid lemak oleik yang terdapat daripada biji yang kita makan sebagai sebahagian daripada buah.

Satu hidangan buah naga membekalkan lapan peratus zat besi yang membantu kesihatan fungsi sel darah merah untuk membawa oksigen ke sel.

Beta karotena dan vitamin C dalam buah naga adalah antioksidan kuat yang membantu mencegah kerosakan sel berpunca daripada radikal bebas.

Buah naga kaya dengan serat larut dan tidak larut yang membantu mengurangkan kolesterol makanan. Hasil penyelidikan menunjukkan bukti pengurangan sejumlah kolesterol apabila buah naga dimakan sepanjang tempoh lima minggu.

Epal merah
Epal merah mengandungi beberapa fitokimia penting seperti kuersetin, catechinm phloridzin dan asid klorogenik. Semua ini adalah antioksidan yang kuat. Hasil kajian epidemiologi menunjukkan hubung kaitnya dengan kejayaan mengurangkan risiko sakit jantung, beberapa jenis kanser, asma dan diabetes jenis 2.

Epal merah kaya dengan serat yang membantu melawaskan perut dan melegakan sembelit.

Risiko kanser di kalangan wanita yang makan sekurang-kurangnya satu hidangan epal merah adalah rendah, menurut Kajian Kesihatan Jururawat yang membabitkan 77,000 wanita. Kajian itu mendapati kanser paru-paru di kalangan wanita berkurangan 21 peratus.

Limau tangerin

Sebiji limau tangerin membekalkan 39 peratus vitamin C harian. Diet yang kaya dengan vitamin C membantu menguatkan sistem imun untuk menghindarkan jangkitan.

Kandungan tinggi vitamin A dalam limau tangerin memainkan peranan penting dalam kesihatan selaput mukosa dalam hidung, tekak dan saluran penghadaman.

Selaput mukosa yang kuat memastikan rintangan yang kuat untuk menentang bakteria dan virus berbahaya.

Antioksidan yang terdapat dalam limau tangerin ialah hesperidin. Ia memperlihatkan ciri-ciri antikanser terutama sekali apabila dimakan sebagai sebahagian daripada diet yang sihat dan kaya dengan pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran



 
Chatroom