Rahsia Tahun Naga Air bagi masyarakat Cina
GONG Xi Fa Cai! Ucapan paling popular dilafazkan setiap kali tiba Tahun Baru Cina. Ungkapan ini bukan hanya popular dalam kalangan masyarakat Cina, tetapi turut meniti di bibir semua masyarakat lain di seluruh dunia, sekali gus menandakan ia begitu dekat dengan sambutan perayaan terbesar masyarakat kedua terbesar di negara ini.
Ramai yang menafsir ungkapan itu sebagai selamat tahun baru meskipun ia sebenarnya jauh tersasar daripada maksud sebenar iaitu 'tahniah dan semoga mendapat rezeki'. Mungkin kerana ia sudah digunakan berabad lamanya di seluruh dunia sekali gus terus melekat sebagai ucapan umum termasuk di negara kita.
Seluruh masyarakat Cina dunia kali ini menyambut ketibaan Tahun Naga yang dianggap haiwan terhebat antara 12 haiwan dalam putaran tahun masyarakat itu. Sudah semestinya sesiapa saja berasa begitu bertuah jika melahirkan anak dalam tahun ini, melambangkan kekuatan, kesihatan, harmoni dan tuah.
Malah, patung naga sendiri diletakkan di atas pintu atau bumbung untuk mengusir iblis dan puaka sekali gus menunjukkan betapa pengaruh haiwan misteri itu begitu kuat dalam kekuatan masyarakat Cina di seluruh dunia. Tidak dinafikan, begitu banyak elemen orang Cina mengangkat simbol naga sebagai kekuatan mereka.
Meskipun naga turut mempunyai beberapa keburukan seperti pemarah, sombong, kurang bertoleransi, tamak, ego dan ganas, kelebihan elemen positifnya seperti dipandang mulia, berkarisma, bersemangat tinggi, ramah, berkuasa, yakin diri, berterus terang dan mencintai kebebasan menjadikan ia begitu dipandang tinggi.
Putaran 12 haiwan dalam kalendar orang Cina iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan babi menjadikan Tahun Naga begitu ditunggu-tunggu selepas kemunculannya pada 2000 sudah lama meninggalkan mereka. Tahun lalu ialah giliran 'Tahun Arnab' yang mempunyai sifat negatif daripada positif.
Namun, tidak ramai mengetahui bahawa naga sendiri dalam kitaran kalendar qamari Cina mempunyai lima jenis iaitu Naga Kayu, Naga Air, Naga Emas, Naga Tanah dan Naga Api. Tahun ini, giliran Naga Air atau turut digelar Naga Hitam mengambil alih kitaran itu. Setiap naga mempunyai kelainan dalam maksudnya dan Naga Air antara yang kurang disenangi dalam perkiraan Feng Shui Cina.
Pakar Feng Shui dari Oriental Wisdom, Master Soon, berkata naga terhebat dan paling membawa tuah ialah Naga Emas yang kemunculannya berlaku pada 2000. Ia dianggap benar-benar melambangkan kehebatan seseorang dan menjadi impian semua masyarakat Cina.
"Naga Air sedikit berbeza. Ia turut dikaitkan dengan warna hitam dan sangat lincah serta ganas di perairan. Sejarah mitos Cina mengaitkan haiwan itu sebagai sukar dikawal dan sangat pemarah. Naga Air suka buat kacau. Sebenarnya orang yang lahir dalam tahun ini mempunyai karakter yang sukar dikawal.
"Secara teorinya, bagus lahir dalam Tahun Naga kerana orangnya mempunyai kecerdasan minda yang cemerlang dan hebat dalam politik tetapi dia bukan jenis yang suka patuh pada arahan. Pendek kata, sukar untuk bekerja dengan orang kerana agak kuat melawan. Mudah marah dan suka buat kacau.
"Ia sinonim dengan sifat haiwan air itu yang menguasai lautan. Kehebatannya bergerak ke sana sini, pergi jauh ke mana disukainya selalunya menimbulkan cabaran dan bahaya kepada orang lain.
"Dalam perkiraan Feng Shui, Tahun Naga Hitam kali ini bakal menimbulkan banyak insiden politik antarabangsa dan dijangkakan ia ada kaitan dengan Iran kerana kali ini ia ada hubungan dengan revolusi 1979. Sukar untuk diperincikan tetapi ada kaitannya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, Tahun Naga tetap dianggap paling hebat dalam masyarakat Cina. Jika dilihat secara teliti, kebanyakan orang yang lahir dalam tahun ini mempunyai perwatakan yang istimewa. Dalam bahasa mudah, lain macam. Dia mampu buat apa saja kerana otaknya ligat berfikir.
Lebih istimewa lagi, kemunculannya bukan selalu. Jika mahu ditunggu 12 tahun lagi, hanya pada 2024 baru ia kembali. Jika mahu menunggu kemunculan Tahun Naga Emas, ia hanya akan tiba pada 2060 kerana berdasarkan kitaran kalendar Cina, satu karakter haiwan khusus itu akan berulang selepas 60 tahun.
Kemunculan Tahun Baru Cina sering kali dikaitkan dengan pemberian angpau, pemakaian baju dengan warna asas merah dan letupan mercun. Tidak kira sejauh mana larangan pembakaran mercun dibuat, ia sukar untuk menghalang tradisi itu kerana ada mitos kuat dalam kepercayaan mereka yang mengaitkan elemen merah serta letupan.
Menurut satu kisah legenda, pada zaman dulu, Nián (seekor raksasa pemakan manusia dari satu pergunungan muncul setiap 11 tahun, sekitar musim sejuk, untuk memburu manusia. Orang ramai percaya bahawa raksasa itu sukar menahan bunyi bising dan warna merah.
Oleh itu mereka mengusirnya dengan letupan, bunga api dan penggunaan warna merah secara meluas. Adat-adat inilah yang membawa kepada perayaan Tahun Baru pertama. Justeru, penggunaan dua elemen ini tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat Cina.
"Merah melambangkan api yang menjadi bahan bakar kepada sumber makanan kita. Api juga membekalkan haba serta kepanasan. Ia adalah alat penting untuk menyambung kehidupan. Ia juga warna darah dan ia penting untuk terus hidup. Tiada darah, orang mati. Orang Cina lebih pentingkan duniawi. Justeru, penting bagi mereka untuk menjaga kehidupan.
"Mercun pula bunyinya kuat seperti meriam. Disebabkan kami mementingkan kehebatan di dunia, bunyi kuat itu penting untuk menunjukkan kehebatan. Dulu, bunyi bising menjadi permulaan kepada aktiviti pertanian. Ia menandakan bermulanya satu upacara. Lebih kuat bunyinya, lebih hebat permulaan tahun itu. Memang sukar memisahkan masyarakat kami dengan amalan membakar mercun," tambahnya.
Bagi masyarakat Cina, sambutan Tahun Baru berlangsung bagi tempoh yang agak panjang iaitu selama 15 hari. Ia bermula dengan jamuan pertemuan semula yang menghimpunkan seluruh isi keluarga. Di China Utara, adalah juga menjadi adat untuk memakan ladu ketika jamuan ini. Ladu melambangkan kemewahan kerana bentuknya berupa tongkol emas Cina.
Angpau bagi ahli terdekat dalam keluarga selalunya diberi sewaktu jamuan pertemuan semula. Paket ini sering mengandungi duit dalam bilangan nombor tertentu yang mencerminkan tuah dan kehormatan. Secara tradisi, angpau atau sampul merah diedarkan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina oleh pasangan suami isteri atau orang tua kepada mereka yang belum berkahwin.
Jumlah wang dalam angpau sepatutnya bermula dengan angka genap kerana angka ganjil dikaitkan dengan wang tunai yang ditukarkan dalam upacara pengebumian.
Oleh sebab angka empat dianggap membawa sial, kerana perkataan untuk empat sama bunyinya dengan mati, maka wang dalam angpau tidak boleh berjumlah RM4. Sementara itu, angka lapan dianggap bertuah (kerana sama bunyinya dengan 'kaya'), maka RM8 selalu didapati dalam angpau.
Hari terakhir dalam sambutan Tahun Baru Cina ialah Chap Goh Mei iaitu pada hari ke-15. Bebola pulut manis dalam sup dimakan pada hari itu. Tangyuan ialah sejenis makanan Cina yang diperbuat daripada tepung pulut. Tepung pulut ini dicampur dengan sedikit air untuk membentuk bebola, kemudian dimasak dan dihidangkan dalam air yang mendidih.
Masyarakat Cina juga kaya dengan pantang larangnya. Sepanjang perayaan Tahun Baru Cina, ada beberapa amalan yang membawa tuah baik dan ada pula memberi malang. Antara yang dianggap baik ialah membuka pintu serta tingkap yang dianggap menjemput masuk tuah pada tahun baru.
Membiarkan lampu menyala semalaman pula dipercayai menghalau hantu dan puaka pembawa musibah yang mampu mempengaruhi nasib sekeluarga sepanjang tahun. Gula-gula dan manisan dimakan untuk 'memaniskan' nasib sepanjang tahun, manakala memakai selipar baru yang dibeli sebelum tahun baru bermaksud memijak orang yang selama ini banyak bercerita keburukan pemakainya.
Amalan yang mengundang malang pula seperti membeli kasut baru yang dianggap membawa malang bagi sesetengah orang Cina kerana perkataan bahasa Kantonis bagi 'kasut' sama bunyinya dengan perkataan 'kasar' atau 'sukar'. Menggunting rambut juga ditegah kerana perkataan bagi rambut sama bunyinya dengan hasil. Oleh itu menggunting rambut juga dipandang sebagai memotong hasil.
Ironinya, kepelbagaian kaum dalam negara ini pastinya menyajikan warna warni dalam kehidupan masyarakat berbudaya. Ia menonjolkan gambaran betapa Malaysia begitu kaya dengan nilai keunikan kaum. Sambutan Tahun Baru Cina kali ini pastinya membawa lembaran baru buat masyarakat Cina seluruhnya. Buat mereka semua, Gong Xi Fa Cai!
Oleh Azrul Affandi Sobry