Home » » Sarapan Pagi: Kepentingan dan Faedah Sarapan

Sarapan Pagi: Kepentingan dan Faedah Sarapan

Kepentingan Sarapan Pagi
Senario 1

"Mimi tidak suka sarapan pagi. Kalau makan pagi dia mesti sakit perut. Selalunya lepas bangun tidur, dia akan terus ke sekolah. Lagi pun, tak sempat. Kami keluar rumah jam 6.45 pagi. Dia suka sambung tidur dalam kereta daripada makan," kata Halimah ketika diaju soalan kenapa tidak menyediakan sarapan pagi untuk anaknya sebelum melangkah ke sekolah.

Senario 2

MUHAMAD pula suka makan nasi dan ketulan nugget ayam. Setiap pagi saya akan sediakan nasi lemak atau nugget. Yang lain dia tidak selera. Lagi pun, dia bukan dalam kategori lebih berat badan. Dia kurus saja jadi saya kira tidak salah bagi makanan itu. Biar dia gemuk sikit," kata Zaharah mengenai tabiat makan anaknya yang baru masuk Tahun Satu.

SENARIO ini mungkin biasa kita dengar. Sama ada tahu atau tidak ambil kisah, segelintir ibu bapa masih tidak memberi perhatian serius terhadap kepentingan sarapan pagi untuk memastikan anaknya dapat menumpukan sepenuh perhatian pengajaran di dalam kelas.

Mimi mungkin berhadapan dengan kelaparan yang amat sangat, pada jam 9 pagi lantaran tidak makan apa-apa, sejak masuk tidur jam 10 malam dan bangun 6.30 pagi.

Bagi Muhammad pula untuk beberapa jam awal persekolahan dia mungkin bertenaga, tetapi apabila guru mulai mengajar dan murid lain menumpukan perhatian pada papan hitam, fikirannya mulai mengelamun kerana mengantuk. Sarapan pagi tidak saja mustahak, sebaliknya pemilihan sajian juga perlu diberikan perhatian kerana ia turut mempengaruhi kecerdasan individu. Kajian menunjukkan pengambilan sarapan pagi dapat membantu seseorang terutama kanak-kanak memberi tumpuan penuh ketika di sekolah dan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran.

Tanpa sarapan pagi, kanak-kanak sukar menumpukan sepenuh perhatian, tidak bermaya dan mengantuk pada awal pagi persekolahan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Universiti Putra Malaysia, Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof, berkata sarapan pagi amat penting bagi memulakan hari individu dengan lebih bertenaga selepas lebih lapan jam tidur, terutama otak.

Bagi kanak-kanak sekolah rendah berusia enam hingga 12 tahun, Dr Barakatun menjelaskan, makanan yang rendah kandungan lemak, sederhana protein dan karbohidrat serta tinggi kandungan, vitamin dan mineral adalah yang terbaik untuk kanak-kanak sekolah rendah.

"Antara makanan yang paling mudah adalah bijirin sarapan. Apabila dicampur dengan susu. Mereka turut mendapat pelbagai khasiat seperti protein dan kalsium yang amat penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi.

"Selain itu, roti bakar dan susu, roti dan keju ataupun nasi goreng atau mi goreng kurang minyak dan ditambah pelbagai jenis sayursayuran boleh dijadikan hidangan sarapan. Kuih-muih yang dibakar atau dikukus seperti popia basah dan apam kukus juga pilihan yang baik. Cuba kurangkan makanan diproses kerana ia tinggi lemak dan garam. Paling penting pelbagaikan hidangan supaya tidak cepat bosan," katanya mengulas mengenai kepentingan sarapan pagi untuk anak kecil yang mungkin belum arif mengenai kebaikannya.

Dari segi saintifik, kanak-kanak perempuan (sekolah rendah) perlukan 1,200-1,600 kalsium/ harian (kcal/hari) manakala kanakkanak lelaki memerlukan 1300-1800 kcal/hari. Kebiasaannya, mereka perlu makan 4-6 kali sehari. Makan dengan kerap tetapi pastikan saiz hidangan kecil adalah lebih baik berbanding makan banyak pada satu-satu masa.

Disebabkan kanak-kanak lama di sekolah dan perlu tumpu kepada pelajaran, Dr Barakatun berkata, makanan yang tinggi lemak dan gula jika diambil dalam jumlah yang berlebihan akan menyebabkan mengantuk.

Katanya, ibu bapa tidak perlu terlalu risau memikirkan sajian pilihan kerana rata-rata kanak-kanak dewasa ini memasuki tadika dan pastinya makan awal pagi bukan lagi satu yang asing.

"Segelas susu dicampur coklat ataupun koko sebenarnya sudah memadai. Jika ingin membeli minuman dalam kotak, pastikan ia berasaskan susu kerana minuman berasaskan susu adalah makanan lengkap memadai untuk keperluan pagi hari. Jangan lupa melihat tarikh luput untuk setiap makanan komersial," katanya.

Dr Barakatun tidak menafikan ada kanak-kanak yang enggan makan pagi seperti peribahasa `alah bisa tegal biasa', namun sebagai ibu bapa kena bijak menanganinya secara perlahan-lahan.

"Pastikan pelbagai makanan dapat dihidangkan setiap hari. Mulakan dengan makanan kesukaan mereka dan kemudian apabila mereka sudah biasa mengambil sarapan pagi dan merasai nikmatnya kepada tubuh mereka, kenalkan kepada makanan yang lebih berkhasiat. Ibu bapa bukan saja perlu kreatif, tetapi pastikan waktu makan semua ada di meja. Kalau si ibu suruh anak makan, ibu kenalah juga makan, bukannya hanya memerhati dan mengarah makan cepat dari dalam bilik," katanya.

Tidak sempat menyediakan sarapan, bukan alasan tidak menyediakannya makanan untuk anak kerana segelas susu atau sekotak susu sudah memadai untuk sarapan pagi bagi mereka memulakan hari mereka. Sarapan pagi amat penting untuk memastikan anak-anak dapat memaksimumkan potensi mereka di sekolah.

Jaga pemakanan kanak-kanak obes

SARAPAN pagi perlu untuk semua kanak-kanak termasuk mereka yang mengalami berat badan berlebihan atau obesiti. Tanggapan kanak-kanak obesiti biasanya akan makan sesuka hati terutama jika diberikan belanja sekolah boleh mengundangnya makan banyak atau memilih makanan tidak sihat seperti bergoreng dan manis, adalah tidak betul sama sekali.

Dr Barakatun berkata, pendidikan mengenai apa itu makanan sihat amat penting kepada semua anak-anak ini.

Ibu bapa tidak seharusnya menyekat mereka yang obes untuk mengambil makanan pada waktu pagi kerana itu boleh menyebabkan kanak-kanak memberontak, justeru, perlu diberi secara berpatutan.

Kerjasama pihak sekolah dan kantin sekolah amat penting dengan tidak sewenang-wenangnya menjual makanan yang tidak berkhasiat.

"Pihak sekolah perlu memastikan makanan dijual adalah berkhasiat, selain menggalakkan aktiviti bersukan sekerap mungkin.

"Kanak-kanak obes perlu makan seperti kanak-kanak lain. Apa yang penting kualitinya, selain yang rendah lemak dan tinggi kandungan serat. Galakkan mereka makan sayur, buah serta minum susu dua kali sehari. Elakkan makanan ringan dan yang diproses serta minuman manis dan bergas. Yang paling penting, pastikan mereka bergerak, bukan duduk saja di tepi padang melihat kawan lain bermain," katanya.

Nasihat Dr Barakatun, membawa bekal juga mungkin idea yang baik untuk memastikan berat badan terkawal, selain terjamin khasiatnya, kebersihan dan kesegaran makanan.

"Makanan yang mudah basi termasuk berlemak tidak sesuai dibuat bekal ke sekolah. Pada peringkat ini ibu bapa perlu ajar anak-anak mengenal pasti makanan yang rosak melalui bau, warna dan rasanya kerana ia boleh mengundang keracunan makanan," katanya.

Sarapan bukan saja memberi tenaga untuk memulakan hari baru, tetapi banyak faedah untuk kesihatan termasuk kawalan berat badan dan prestasi yang lebih baik.

* Pemakanan berkhasiat dan lengkap, kaya nutrien, vitamin dan mineral memberikan tenaga kepada tubuh badan.

* Dapat memberi lebih tumpuan serta prestasi di dalam kelas n Lebih tenaga atau kudrat untuk terbabit dalam aktiviti dalam kelas atau di atas padang

* Membantu merendahkan tahap kolesterol.

* Roti bakar dan susu, roti dan keju atau nasi goreng atau mi goreng yang digoreng kurang minyak dan ditambah pelbagai jenis sayur-sayuran boleh dijadikan hidangan sarapan.

* Kuih-muih yang dibakar atau dikukus seperti popia basah dan apam kukus juga pilihan yang baik. Kurangkan makanan diproses kerana makanan seperti ini adalah tinggi lemak dan garam. Yang paling penting adalah pelbagaikan supaya mereka tidak cepat bosan.

* Makanan yang tinggi lemak dan gula sekiranya diambil dalam jumlah berlebihan akan menyebabkan rasa mengantuk.

Kunci kata:

* SEIMBANG - Terdiri daripada kombinasi pelbagai. Gunakan piramid ini sebagai rujukan dalam memastikan anak mendapat kuantiti betul daripada setiap kumpulan makanan.

* SEDERHANA - Keperluan pemakanan anak meningkat apabila membesar. Makan terlalu banyak atau terlalu sikit boleh mengakibatkan masalah kesihatan. Justeru, patuhi bilangan sajian yang disarankan untuk setiap kumpulan makanan di dalam piramid. Ini akan memastikan anak mendapat jumlah tenaga dan nutrien betul setiap hari.

* PELBAGAI - Pilih pelbagai daripada setiap kumpulan makanan. Makanan berlainan memberikan kombinasi dan nutrien berbeza. Penuhi keperluan dengan memberi pelbagai makanan dalam warna, perisa, tekstur dan sebagainya. Kepelbagaian turut mengelakkan anak daripada bosan.

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof



 
Chatroom