Home » » Melancong ke Switzerland!

Melancong ke Switzerland!

MELANCONG ke Switzerland! Memang menarik walaupun hanya sekali, ia dapat memberi kenangan dan pengalaman bermakna kepada pengunjungnya. Negara Alpine itu juga tidak dinafikan dapat melapangkan fikiran kerana tarikan alam semula jadinya cukup cantik sekali serta mengagumkan, manakala udara sekitarnya bersih dan segar.



Oleh itu, bagi yang merancang percutian untuk sekeluarga, tidak rugi untuk mendekati dan menjelajah negara itu. Meskipun, ada yang berpendapat melancong ke Eropah termasuk Switzerland memerlukan belanja besar dan membazirkan wang ringgit, kepuasan dikecapi tidak terkata serta berbaloi.

Justeru, jika ada kemampuan ketepikan soal mahal dan pembaziran, sebaliknya rancanglah untuk membawa keluarga melancong ke Switzerland yang turut terkenal dengan pemandangan indah serta ada pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama bagi merancakkan percutian.

Sepanjang melancong, ibu bapa juga boleh mendidik anak supaya menghargai keindahan ciptaan Tuhan dan mengenali budaya serta geografi negara berkecuali di Eropah itu yang sememangnya jauh berbeza dengan bumi Malaysia.

Untuk melancong ke Switzerland, anda boleh memilih mendarat di lapangan terbang Geneva, Zurich ataupun Basel. Sebenarnya, memilih mendarat di lapangan terbang Geneva, selain Zurich tidaklah banyak perbezaan. Kemudahan perkhidmatan kereta api di situ amat mudah, malah ia tiba setiap 10 hingga 20 minit untuk menuju ke kedua-dua bandar berkenaan dan masa yang diambil lebih kurang 10 minit. Berbanding, di lapangan terbang Basel yang perlu menggunakan perkhidmatan bas sebelum menuju ke stesen kereta api.

Wakil Swiss Travel System, Andreas Nef, berkata pelancong sebenarnya tidak perlu risau langsung mengenai perkhidmatan pengangkutan awam di negara itu kerana ia adalah antara yang terbaik di seluruh dunia.

Perkhidmatan kereta api bukan saja lancar, selamat dan laju, tetapi kerap serta menghubungkan seluruh kawasan negara itu sekalipun tempat yang terpencil.

“Switzerland walaupun kecil, mempunyai sistem pengangkutan yang tersusun dan begitu berkesan. Ini memudahkan pelancong untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi, malah sistem pengangkutan yang sedia ada seperti kereta api, bas, dan bot menghubungi secara langsung antara sama lain,” katanya ketika menerangkan kepada wakil media dari Malaysia yang dibawa oleh Pelancongan Switzerland, baru-baru ini.

Keluasan negara itu lebih kurang 41,285 km persegi dan kira-kira dua pertiga daripadanya diliputi hutan, tasik serta gunung ganang. Antara bandar yang dikunjungi ialah Geneva, Carouge, Zermatt dan Montreux. Setiap bandar berkenaan mempunyai tarikan dan keistimewaan tersendiri. Justeru, tidak hairanlah jika industri pelancongan adalah sumber ketiga terbesar bagi tukaran asing negara itu selepas perusahaan mesin dan kimia.

Andrea berkata, bagi mempertingkatkan industri pelancongan di negara itu promosi dari semasa ke semasa dilakukan dan yang menariknya, negara itu sesuai sekali menjadi destinasi percutian untuk sekeluarga kerana banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama-sama keluarga seperti menaiki bot sambil menikmati keindahan tasik dan panorama sekitar atau merentas desa yang cantik dan bersih dengan menaiki kereta api, mendaki gunung, bermain ski pada musim sejuk, melawat muzium serta tempat bersejarah dan banyak lagi.

Selain itu Switzerland juga kaya dengan gunung, di samping pemandangan sekeliling yang unik dan mempesona, baik pada musim sejuk atau panas serta diserikan dengan tasik mahupun glasier yang bersih dan cantik.

Menjadi kebanggaan negara itu ialah sistem pengangkutan awamnya yang canggih dan cukup berkesan, sekali gus memudahkan pelancong berkunjung ke negara itu. Kerajaan negara itu mengeluarkan pelaburan yang cukup tinggi untuk memastikan pengangkutan awamnya berkesan dan memberikan kesenangan kepada semua.

Katanya, kereta api pertama di Switzerland mula beroperasi pada 1847 dan ia kekal sehingga hari ini serta diperluaskan sistem rangkaiannya. Begitu juga sistem pengangkutan awam yang lain, mempunyai rangkaian tersusun dan sistematik. Secara keseluruhan, negara itu mempunyai 200 syarikat pengangkutan awam termasuk yang diterajui syarikat utama.

Andrea berkata, apa yang pasti apabila pelancong turun di lapangan terbang sudah tersedia perkhidmatan kereta api dan sebaik saja tiba di stesen, mereka akan dihubungkan dengan semua kawasan lain.

“Pelancong juga tidak perlu tunggu lama kerana perkhidmatan kereta api di situ beroperasi mengikut jadual yang diselaraskan. Untuk kemudahan lain di setiap stesen kereta api pasti ada kedai dan ini memudah dan membolehkan orang ramai membeli barang keperluan harian, termasuk pada Ahad kerana kebanyakan kedai di bandar akan di tutup pada hari itu. Ini juga satu kelebihan yang disediakan untuk pelancong,” kata Andrea.

Katanya, Switzerland mempunyai lokasi strategik di persimpangan tengah Eropah dengan banyak kemudahan disediakan untuk pelancong.

Kedudukan strategik dan sistem perkhidmatan pengangkutan awam yang canggih juga membolehkan pelancong meneruskan perjalanan sehingga ke negara Eropah yang lain. Misalnya, dari Geneva ke Paris hanya mengambil masa tiga setengah jam perjalanan dengan menggunakan kereta api.

Andrea berkata, bagi memudahkan lagi pelancong dan membolehkan mereka mengembara ke seluruh pelusuk Switzerland dengan cara yang senang dan menyeronokkan, Tiket Swiss (Swiss Pass) diperkenalkan.

“Dengan Tiket Swiss, pengembaraan seperti ‘Raja’ kerana ia melayakkan pelancong untuk mengembara percuma merangkumi keseluruhan Swiss Travel System dan ini menjadikan pilihan perjalanan 20,000 km melalui jalan kereta api, bas dan bot adalah milik mereka. Bagi yang bercadang untuk tinggal di wilayah tertentu di Switzerland pula disarankan menggunakan Tiket Pertukaran Swiss (Swiss Transfer Ticket),” katanya.

Katanya, melancong menggunakan Tiket Swiss adalah pilihan terbaik dan tepat serta menjimatkan terutama bagi yang melancong bersama keluarga. Tiket Swiss yang diperkenalkan sejak 1991, hari ini semakin popular dan menjadi pilihan kebanyakan pelancong tempatan mahupun dari luar negara.

“Cara terbaik untuk meneroka Switzerland bersama keluarga ialah menggunakan Tiket Swiss kerana ia membolehkan anda mengembara menggunakan rangkaian pengangkutan Swiss Travel System tanpa batas termasuk kereta api, bot dan sistem pengangkutan urban. Dengan memiliki tiket itu juga anda boleh memasuki lebih kurang 450 muzium di Switzerland secara percuma, di samping mendapat potongan sehingga 50 peratus untuk mendaki puncak gunung terkenal dengan menggunakan kereta kabel.

“Pelancong mempunyai pilihan sama ada ingin membeli tiket untuk pengembaraan selama 4,8,15 atau 22 hari, malah ada yang sehingga sebulan lamanya. Bagi kumpulan yang ada seramai dua orang atau lebih, layak mendapat potongan 15 peratus,” katanya.

Bagi yang membawa anak pula, boleh mendapatkan Kad Keluarga (Family Card) bersama tiket Swiss Travel System dan ini melayakkan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah mengembara percuma apabila ditemani oleh bapa atau ibu.

Andrea berkata, kemudahan lain yang akan lebih melancar dan menyenangkan perjalanan pelancong ialah perkhidmatan penerbangan bagasi secara terus stesen kereta api di negara itu sama ada di lapangan terbang Zurich atau pun Geneva. Tidak kira penerbangan mana sekali pun pelancong gunakan, perkhidmatan seumpama itu tetap disediakan. Ini bermakna, sebaik saja pelancong berkenaan tiba di lapangan terbang, bagasi mereka secara automatik turut tiba di stesen kereta api yang menjadi destinasi dituju.

“Perkhidmatan itu popular di kalangan pelancong yang datang bersama keluarga. Perjalanan menjadi lebih mudah kerana mereka tidak perlu bersusah mengangkut beg dan dapat berjalan dengan lebih selesa bersama anak,” katanya.

Pilihan penerbangan

MELANCONG negara yang terkenal dengan keindahan salji di pergunungan Alps itu ada beberapa pilihan penerbangan, termasuklah menggunakan pesawat Etihad Airways (Etihad), syarikat penerbangan kebangsaan Emiriyah Arab Bersatu yang sudah pun memulakan operasi penerbangan komersial ke Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Bagi perjalanan jauh seperti itu memilih penerbangan kelas perniagaan, pastinya memberikan lebih keselesaan. Malah, di dalam pesawat penumpang boleh merehatkan diri sepenuhnya termasuk tidur nyenyak di atas ‘katil’. Dengan kerusi atau tempat duduk di dalam pesawat yang boleh diubahsuai dijadikan katil, ia membolehkan penumpang membaringkan tubuh serta tidur dengan lebih selesa, berbanding terpaksa duduk bersandar atau meringkukkan tubuh di atas kerusi.

Seandainya tubuh berasa lenguh pula, tekan saja punat yang boleh mengurut keseluruhan belakang tubuh hingga ke paras betis anda secara automatik. Keadaan itu cukup menyenangkan sekali dan mungkin membuatkan anda terlupa seketika bahawa diri sebenarnya berada di dalam ‘perut’ pesawat.

Penerbangan pesawat Etihad dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Geneva, Switzerland akan singgah di lapangan terbang Abu Dhabi. Sementara menunggu untuk ke destinasi seterusnya, penumpang kelas perniagaan boleh berehat di ruang istirehat lapangan terbang yang disediakan.

Jika terpaksa tunggu lama usah risau, bagi mengisi masa banyak aktiviti boleh dilakukan di ruang istirehat itu termasuk melayari internet, membaca majalah atau akhbar, mendapatkan rawatan spa, makan minum ataupun mandi bagi menyegarkan badan apatah lagi selepas hampir separuh hari berada di dalam pesawat. Selepas berehat dan mandi anda pasti lebih berasa selesa untuk meneruskan perjalanan seterusnya.

Etihad yang berpusat di Abu Dhabi, berkembang pesat dan kini menawarkan penerbangan ke 58 destinasi termasuk Timur Tengah, Eropah, Amerika Utara, Afrika dan Asia. Baru-baru ini, syarikat penerbangan itu membuat penerbangan setiap hari dari Kuala Lumpur ke Abu Dhabi. Untuk tempahan boleh dibuat menerusi agensi pelancongan tempatan atau hubungi terus Etihad di talian 03 - 2687 2222 atau log on to www.etihadairways.com

Oleh Nor Affizar Ibrahim



3 Komen:

Anonymous said...

Wah bestnya...berapa budget nak pegi Switzerland? Teringin la nak ke sana..

Hidayah Omar said...

assalamualaikum nk tnylah... ke sne hrge tiket brpe ye? brp trnsit dr malaysia ke sne? prtukaran mse mcm mne? maaflah byk tny sbb sy kne buat assignment vacation so kne cari informasi...hrp dptlah jwb..time ksh :)

vitaminstreet said...

Swiss Pass tu bape ye? Berbaloi tak beli? Plan nak g zurich this year..

Post a Comment

Affiliates

 
Chatroom