Home » » Bapa obes pengaruhi anak gemuk

Bapa obes pengaruhi anak gemuk

Bapa yang berbadan gemuk dan berlemak cenderung mempunyai anak yang gemuk sehingga empat kali ganda apabila mereka memasuki usia lapan atau sembilan tahun.

Kajian dijalankan sekumpulan penyelidik dari Universiti Newcastle, mendapati bapa yang gemuk boleh mempengaruhi sehingga empat kali ganda masalah kegemukan dalam kalangan kanak-kanak pada usianya lapan atau sembilan tahun berbanding mereka yang mempunyai bapa yang sihat atau tidak gemuk.

Ketua penyelidik, Dr Emily Freeman, berkata beliau tidak jelas mengapa bapa yang mengalami berat badan berlebihan mempunyai impak yang besar terhadap pertumbuhan anak mereka.

Bagaimanapun, satu teori muncul, iaitu tabiat makan dan senaman dilakukan bapa turut mempengaruhi amalan sama terhadap anak mereka.

Dr Freeman berkata, zaman moden banyak mempengaruhi amalan gaya hidup seseorang termasuk bapa termasuk mengambil makanan kurang sihat dan kurang bersenam.

"Anda mendengar banyak cerita mengenai bagaimana ibu melakukan banyak kerja termasuk membeli dan menyediakan makan malam. Secara umumnya wanita cenderung menjadi lebih berpengetahuan mengenai berat badan, pemakanan dan senaman. Justeru, kita tidak betul-betul pasti apa yang sedang berlaku di sana," katanya.

Kajian itu adalah berdasarkan data yang dikumpul ke atas 3,000 keluarga Australia yang dilakukan antara tahun 2004 dan 2008 dan kajian penyelidikan itu diterbitkan baru-baru ini dalam talian oleh Jurnal Obesiti Antarabangsa.

"Mereka menilai berat kanak-kanak berkenaan bermula usia empat hingga lima tahun dan sekali lagi apabila mereka mencecah usia lapan dan sembilan tahun.

"Mereka yang mempunyai ayah yang berlebihan berat badan atau obes mengalami empat kali ganda sebagai kemungkinan, untuk mengikut jejak langkah ayah mereka, berbanding kanak-kanak yang memiliki ayah yang tidak menghadapi masalah berat badan," katanya.

Dr Freeman berkata, 25 peratus kanak-kanak Australia mengalami berat badan berlebihan atau obes dan membantu golongan bapa mengurangkan berat badan mungkin cara terbaik menangani masalah obes dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, katanya, satu program perintis yang dijalankan di NSW Hunter Valley, membantu golongan bapa mengurangkan berat badan.

"Keputusan akan dianalisis untuk memahami kesan program ke atas anak mereka. Kami menggunakan program ini untuk memahami mekanisme berkenaan dengan lebih baik," katanya.



Affiliates

 
Chatroom