Jika sakit, ubat jadi penawar tetapi tahukah anda senaman juga satu cara mengubati penyakit?
Malah, ia cara terbaik untuk mengurangkan masalah berat badan berlebihan serta tidak memiliki kesan sampingan memudaratkan, sebaliknya menyihatkan badan dengan cara semula jadi.
Menurut Naib Presiden Exercise is Medicine, Perubatan Sukan Kolej Amerika, Dr Adrian Hutber, senaman yang dilakukan secara berkala mampu mengurangkan risiko penyakit jantung sehingga 40 peratus.
Gaya hidup sihat dengan mengamalkan aktiviti fizikal sememangnya digalakkan bagi mengelakkan diri daripada terus terdedah kepada bahaya kegemukan serta penyakit lain yang berkaitan dengan pola pemakanan tidak seimbang.
"Sekurang-kurangnya kita perlu melakukan aktiviti fizikal selama 30 minit setiap hari bagi mencukupkan 150 minit seminggu dan perlu menampakkan peningkatan sebanyak 10 minit setiap kali ia dilakukan.
"Ini bagi memberikan kesan lebih memberangsangkan pada badan," katanya pada bengkel sehari Negara Sihat dan Aktif anjuran Coca Cola dengan kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (OCM), baru-baru ini.
Tidak dapat dinafikan manfaat melalui senaman bagi mencegah dan berfungsi sebagai rawatan awal bagi penyakit kronik.
"Bukan saja tiada penyakit malah berat badan juga dapat diseimbangkan dengan cara lebih berkesan dan semula jadi tanpa perlu mengamalkan diet kurang sihat.
"Makan itu penting, tetapi senaman juga memainkan peranan dalam menentukan tahap kesihatan badan berada dalam keadaan optimum bagi mengelakkan sebarang penyakit berbahaya," katanya.
Hadir sama, Pengarah Program Kesihatan Saintifik Global dan Kawalan Pengurusan Syarikat Cola Cola, Dr Maxime E Buyckx.
Sementara itu, pembacaan label nutrisi pada produk makanan juga penting untuk memperoleh kesihatan yang baik, menurut Ketua Pengarah Majlis Maklumat Pemakanan Eropah, Dr Josephine Wills.
"Penting untuk membaca label nutrisi kerana kita perlu tahu setiap bahan yang diambil itu boleh memberikan kesan jangka panjang pada badan jika tidak dikawal pengambilannya.
"Pelabelan ini juga boleh membantu pengguna mendapatkan bentuk makanan seimbang yang diperlukan bersesuaian dengan kehendak mereka," katanya.
Menurut kajian, separuh daripada pengguna seluruh dunia tidak memerhatikan label nutrisi yang disediakan sebaliknya lebih memilih untuk melihat tarikh luput serta harga barangan.
"Ini suatu pembaziran kerana melalui label, kita boleh menilai sendiri sama ada produk makanan itu menyihatkan atau sebaliknya.
"Bagaimanapun, mungkin ini disebabkan mereka tidak didedahkan dengan cara betul untuk melihatnya sehingga mengabaikan perkara penting sebegitu," katanya.
Pengarah Pusat Nutrisi Kesihatan Awam bagi Pusat Kajian Kegemukan UW, Program Sains Nutrisi, Dr Adam Drewnowski berkata, penting untuk mengambil makanan mengikut carta piramid makanan, namun ia perlu disesuaikan dengan keadaan persekitaran.
Menurutnya, agak sukar untuk mempengaruhi pengguna menukarkan konsep harga kepada nutrisi. Ini kerana kebanyakan orang melihat pada harga iaitu lebih murah produk, maka ia paling mendapat permintaan tinggi.
"Kebiasaannya produk makanan yang lebih murah menepati keinginan seseorang walaupun kurang berkhasiat kerana ia lebih menarik.
"Tetapi, kesedaran harus dipertingkatkan bahawa ia boleh memudaratkan pada jangka masa panjang," katanya.
Malah, nutrisi yang diperlukan juga berbeza mengikut usia sebagai contoh gula, apabila semakin berusia, seseorang itu akan mengurangkan kadar pengambilannya.
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan