Home » » Cara mudah tanam terung telunjuk

Cara mudah tanam terung telunjuk

Selain dibuat sayur dalam masakan, terung telunjuk juga banyak digunakan sebagai sumber ubat-ubatan kerana kaya dengan pelbagai khasiat.

Terung telunjuk (Solanum sp.) dari famili Solanaceae merupakan kumpulan terung yang asli (primitif).

Ia berbentuk lonjong, hijau dengan jalur putih di bahagian bawah, bersaiz dua hingga tiga sentimeter (sm) lebar dan lapan hingga 10 sm panjang sahaja.

Terung ini mula ditemui di India dan seterusnya ke seluruh kawasan tropika.

Tidak ramai yang menggemari terung ini kerana rasanya agak sedikit pahit. Namun jika dilihat dari sudut khasiatnya, pasti ramai yang terpegun.

Terung telunjuk kaya dengan karbohidrat, protein, vitamin C, serat, kalsium dan beta karoten yang baik untuk mata.

Selain dimakan sebagai sayur atau ulam, ia juga boleh dijadikan ubat.

Keseluruhan pokok dari buah, daun hingga ke akar pokok ini boleh digunakan untuk mengubati beberapa jenis penyakit, antaranya ialah asma, sakit gigi, bengkak gusi dan melegakan batuk.



Penanaman

- Semai biji benih terung di dalam talam semaian dengan kadar satu sel atau satu biji benih.

- Kaedah tanam terus tidak digalakkan kerana biji benih terung kecil menyebabkan peratus percambahannya jadi rendah.

- Semaian disimpan di dalam rumah semaian atau di bawah teduhan selama empat minggu. Siram setiap pagi dan petang.

- Sementara biji benih bercambah dan membesar di rumah semaian, batas disediakan dengan ukuran lebar satu meter dan panjang bergantung pada luas kawasan.

- Tambah kompos dan baja organik (tahi ayam berproses) semasa mengembur tanah.

- Tutup batas dengan plastik silver shine sebagai sungkupan.

- Selepas empat minggu disemai, anak benih boleh diubah ke batas. Jarak antara pokok yang disyorkan ialah antara 50 dan 60 sm.

- Bagi yang tidak menggunakan plastik 'silver shine sebagai sungkupan, gantikan dengan jerami padi atau daun-daun kering untuk menutup permukaan batas yang terdedah. Sungkupan boleh mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Pengairan

- Tanaman perlu disiram dua kali setiap hari (pagi dan petang) kecuali hari hujan.

- Kaedah pengairan bergantung kepada kemampuan petani sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis, titis dan sebagainya.

- Jika kawasan penanaman mempunyai saliran air bawah tanah yang kurang baik, parit perlu dibuat. Ini kerana terung tidak sesuai dengan keadaan tanah yang terlalu lembap.

Pembajaan

- Selepas dua minggu dipindahkan ke batas, baja pertama diberi. Gunakan baja organik yang dibeli atau baja organik buatan sendiri. Jika baja organik jenis granul (pepejal), hanya 50 g diperlukan. Jika baja organik jenis cecair, ikut pada sukatan yang telah disyorkan pada label.

- Baja kedua diberi selepas dua minggu baja pertama. Kadar baja ditambah hingga 100 g setiap pokok.

- Baja ketiga diberi selepas antara tiga dan empat minggu baja kedua. Kadar baja juga ditambah 120 hingga 150 g setiap pokok.

- Kadar baja yang diberi sebenarnya bergantung pada pertumbuhan pokok itu sendiri. Jika pertumbuhan pokok terbantut atau cepat membesar, kadar baja boleh dikurangkan/dilebihkan daripada yang disyorkan.

- Baja ditabur di sekeliling pokok, tetapi elak terkena pada batang pokok. Sebaik-baiknya baja ditutup dengan sedikit tanah atau sungkupan supaya baja boleh tahan lebih lama.

Sokongan

- Pokok terung boleh membesar setinggi 0.5 hingga 1.0 m. Jika ditiup angin, pokok biasanya mudah bengkok dan tumbang.

- Bagi mengelakkan kejadian ini berlaku, sokongan perlu dibuat.

- Gunakan kayu pancang yang berukuran 1.2 sm x 1.2 sm dan panjang 1.5m (bergantung pada ketinggian pokok).

- Cucuk kayu pancang hampir dengan pokok dan ikat batang pokok pada kayu pancang dengan tali rafia. Jika pokok tinggi, ikat pada dua bahagian batang pokok (atas dan bawah) supaya lebih kuat.

Pemangkasan

- Pemangkasan dibuat pada cabang yang tumbuh di bahagian bawah (0.5m dari tanah) selepas sebulan ditanam. Selain daripada cabang, buang juga daun tua di bahagian bawah pokok.

- Pemangkasan bertujuan untuk memberi pengudaraan dan pencahayaan yang baik kepada pokok. bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti buah terung.

- Sebaik-baiknya ada tiga cabang utama sahaja bagi setiap pokok.

Kawalan rumpai

n Rumpai yang tumbuh di atas batas perlu dibuang setiap seminggu sekali untuk mengurangkan persaingan dengan tanaman.

n Bagi rumpai yang tumbuh di luar batas, mesin rumput boleh digunakan untuk memotong rumput. Sekurang-kurangnya dilakukan dua minggu sekali.

n Rumpai perlu dikawal kerana ada sesetengah serangga perosak menjadikan rumpai sebagai perumahnya.

Kawalan perosak dan penyakit

n Antara serangga yang sering menyerang ialah kutu daun (afid), kumbang daun, lalat buah dan ulat pengorek buah.

n Kawalan perosak yang boleh digunakan perangkap feromon atau yellow sticker untuk lalat buah, racun organik untuk serangga perosak yang lain.

n Racun organik boleh didapati di pasaran atau dibuat sendiri menggunakan campuran cili padi, lada hitam, sabun, air dan beberapa jenis repellent (tanaman penghalau serangga) yang dikisar halus.

n Selain itu, penyakit layu bakteria dan layu Fusarium juga selalu ditemui pada terung. Gabungan daun tembakau atau daun sirih, cili padi, bawang merah, air dan kapur yang dikisar halus boleh membantu mengawal penyakit tersebut.

n Sebanyak 30 ml racun organik yang ditambah dengan 10 liter air disembur pada seluruh bahagian pokok.

Penuaian

n Pokok terung mula mengeluarkan hasil selepas enam dan tujuh minggu dipindahkan ke batas. Potong tangkai buah lebih kurang 1sm daripada cabang pokok.

n Tuai buah selang dua tiga kali sekali.



 
Chatroom