Home » » Kelemumur - Kenal pasti punca tangani masalah

Kelemumur - Kenal pasti punca tangani masalah

KELEMUMUR. Menyebut namanya saja sudah terasa geli. Putih dan kadangkala berkuping di celahan rambut. Apatah lagi kalau melihatnya gugur, jatuh di bahu. Memburukkan keadaan apabila si empunya ketika itu mengenakan baju berwarna gelap.

Betapa kacak atau jelita seseorang, tetapi kalau begitu keadaannya, tentunya rosak penampilannya lantaran kelemumur dikaitkan dengan pengurusan diri.

Kelemumur atau nama saintifiknya pityriasis capitis adalah satu fenomena biasa yang dialami oleh 50 peratus daripada populasi manusia dan dihidapi pelbagai latar belakang masyarakat. Di Malaysia, pengidap kelemumur dianggarkan seramai 4.3 juta orang sementara di United Kingdom 11 juta, membuktikan ia masalah sering dihidapi.

Ia sebetulnya bagaikan ‘benda hidup’ yang boleh bertambah tebal, berkuping-kuping di kepala jika tidak dirawat sedari awal.

Pakar Perunding Kanan Dermatologi Dr Steven Chow Kim Weng, berkata keadaan ini disebabkan oleh kehadiran sejenis yis iaitu malassezia globosa pada permukaan kulit kepala yang memakan lipid atau sebum kulit.

Ia kemudiannya mengeluarkan sejenis molekul yang dirembeskan dan keadaan itu menyebabkan iritasi atau kegatalan pada kulit kepala. Ia adalah punca kulit kepala menjadi berkuping dan terjadilah kelemumur yang bagaikan kepingan salji jatuh ke bumi itu.

“Keadaan cuaca seperti iklim tropika sepanjang tahun di negara ini, menyebabkan individu terdedah kepada cuaca panas, habuk dan kotoran, yang boleh menyebabkan masalah kepada kulit kepala. Ramai penduduk Malaysia mengalami masalah kelemumur tetapi tidak dihebahkan. Ada sesetengah individu yang mempunyai tabiat suka menggaru kepala disebabkan iritasi kelemumur.

“Kelemumur boleh membuatkan seseorang itu menggaru kulit kepala secara berlebihan untuk menghilangkan kegatalan. Namun, ia boleh menyebabkan kulit kepala rosak. Apabila seseorang menggaru kulit kepala, ia menyebabkan lapisan yang melindungi rambut akan terhakis dan lama-kelamaan pecah,” katanya pada bengkel media ‘Head& Shoulders’, baru-baru ini.

Terangnya lagi, kajian klinikal menunjukkan, rambut yang berhadapan masalah kelemumur ‘sakit’ apabila rambut sekitar kawasan dihinggapi, tidak begitu berkilat atau anjal, iaitu keadaan menunjukkan tanda bahawa kualiti rambut merosot, selain strukturnya yang semakin lemah.

“Rambut yang lemah senang putus dan akan menyumbang kepada masalah rambut gugur, baik bagi lelaki mahu pun wanita. Kehadirannya menyebabkan seseorang itu mula rasa tidak selesa kerana kulit kepala gatal dan mereka akan asyik menggaru hinggalah masa tidur boleh terganggu akibat kegatalan,” katanya yang turut mengakui ia menjadi punca individu berhadapan dengan masalah rambut rosak atau gugur.

Sebetulnya terdapat pelbagai jenis masalah kelemumur. Ia bukan saja terdapat pada bahagian kulit kepala, dengan keadaan seperti serbuk putih, tetapi dalam kes yang teruk, ada jenis berkuping dan merebak hingga ke bahagian lain termasuk kening, hidung, dahi dan bahagian belakang telinga.

Masalah kelemumur juga dihadapi mereka yang mengambil steroid bagi mengubati penyakit dan bayi yang baru lahir, tetapi untuk bayi ia dipanggil cradle cap.

Disebabkan kelemumur tidak akan hilang dan akan kembali menyerang, perlu bagi individu menjaga kebersihan rambut dan menggunakan syampu rumusan antikelemumur yang diperkaya dengan bahan antikulat, untuk mencegahnya kembali berulang.

Banyak mitos berhubung kelemumur, termasuk lelaki lebih ramai mengidap kelemumur dan menggunakan perapi boleh menyebabkan timbul kelemumur. Jelas Kim Weng, masalah ini boleh diatasi dengan pengurusan diri yang baik, termasuk mencuci rambut menggunakan syampu rumusan antikelemumur selain berjumpa doktor jika masalah berkenaan semakin teruk.

Sementara itu, saintis Procter & Gamble (P&G), Dr Jasmine Karsono, berkata, walaupun masalah kelemumur bukannya penyakit hingga mengancam nyawa, kehadirannya mampu menggoyahkan keyakinan diri dan membawa kepada imej sosial yang negatif.

“Walaupun terdapat banyak syampu antikelemumur di pasaran, ramai pengguna mengadu selepas sekian lama, kelemumur akan muncul kembali. Ini kerana kebanyakan syampu hanya merawat simptom tetapi tidak mampu mengenal pasti punca sebenar, iaitu kulit kepala yang tidak sihat atau kurang nutrien,” katanya.



 
Chatroom