Home » » Erti Kecantikan Ratu Cantik Malaysia,Deborah Priya Henry

Erti Kecantikan Ratu Cantik Malaysia,Deborah Priya Henry

Perjalanan bekas pemilik mahkota Ratu Cantik Malaysia Dunia 2007, Deborah Priya Henry ibarat menyelak lembaran kisah dongeng yang penuh warna-warni disusuli noktah bahagia abadi.

Seringkali wanita berbintang Cancer itu dijadikan contoh tauladan serta idola ribuan wanita lain yang bercita-cita memiliki semua tuah yang bergolek dalam hidup Deborah.



Kesempurnaan yang dilabelkan pada dirinya masih terasa kelat untuk ditelan meski pun secara fizikalnya, anak kelahiran Dublin, Ireland itu tampak tiada cacat celanya.

Menolak kata sempurna itu, Deborah tidak berselindung tentang kekurangan yang ada pada dirinya serta mahu semua wanita di luar sana menerima diri mereka seadanya.

“Tiada manusia dilahirkan sempurna. Dalam diri setiap orang pasti terselit ketidaksempurnaan yang mahu kita rahsiakan daripada pandangan umum.

“Selagi kita mencuba untuk menidakkan ketidaksempurnaan itu, selagi itu kita tidak mampu menyayangi diri dengan baik,” kemas sahaja ayat daripada wanita berusia 26 tahun itu.

Baru dimahkotakan gelaran Miss Malaysia Universe 2011 Januari lalu, dia juga tidak lari daripada kekurangan serta kelemahan diri tetapi, dia menerima perkara tersebut dengan hati terbuka.

Siapa sangka, wanita yang pernah menjadi model bagi jenama Ungaro, YSL dan Gucci di London itu memiliki karakter lasak dan cenderung kepada aktiviti sukan.

Suka bersukan

Sepanjang menuntut ilmu di Sayfold International School, Kuala Lumpur, Deborah cukup dikenali sebagai atlet sekolah dalam sukan bola keranjang dan bola tampar.

“Pelajar perempuan lain ketika itu suka berdandan dan berpakaian cantik, saya pula langsung tidak peduli tentang perkara sebegitu.

“Memandangkan saya aktif dalam sukan, personaliti saya juga tampak kasar tetapi, hari ini kelemahan tersebut telah dapat saya atasi,” ujarnya yang pernah menerima anugerah atlet wanita terbaik di sekolahnya.

Transisi personaliti Deborah bertukar pada umur 14 tahun setelah dia dihampiri seorang wakil agensi model tempatan ketika sedang bermain bola keranjang di kawasan perumahannya.

Walaupun di peringkat permulaan, dia tidak berminat terhadap tawaran itu, namun langkah pertamanya ke agensi tersebut telah membuka pintu buat Deborah dalam dunia peragaan hingga mampu menempa nama ke luar negara.

Jika dahulu gelanggang bola keranjang menjadi rumah keduanya, kini pentas peragaan serta lembaran muka surat majalah fesyen menjadi cinta hatinya.

Pembedahan plastik

Sinonim masyarakat mengaitkan personaliti ternama dengan pembedahan plastik serta suntikan kecantikan sedikit sebanyak memberi tempias kepada golongan wanita di luar sana mencuba teknik tersebut bagi mendapatkan hasil serupa.

Tetapi bagi Deborah, usaha drastik sedemikian tidak wajar dilakukan oleh wanita yang masih muda kerana khuatir akan memberikan kesan negatif pada masa mendatang.

“Saya tidak membangkang jika seorang wanita itu memilih untuk melakukan pembedahan plastik atau mengambil apa-apa suntikan kecantikan.


“Apa yang mereka perlu fikirkan adalah sejauh mana kewajaran bagi mereka melakukan perkara tersebut dan adakah ia benar-benar berbaloi?

“Saya sedih melihat ramai wanita muda yang terlalu obses untuk mendapatkan tubuh badan menarik hingga melakukan pembedahan plastik secara drastik,” luahnya.

Menurut Deborah, obsesi tersebut didorong oleh rasa tidak yakin dalam diri terhadap tubuh badan serta kecantikan semula jadi yang dimiliki.

Kesan obsesi tersebut akan menyebabkan tubuh badan yang sebelum ini sihat mengalami pelbagai masalah kesihatan dan menjurus kepada tekanan diri yang lebih teruk lagi.

Anak kedua daripada empat beradik itu juga menyatakan memiliki badan yang kurus tidak bermakna wanita itu sihat dan cergas.

Merujuk kembali pengalaman dirinya ketika berumur 16 tahun, Deborah tidak malu mendedahkan dia pernah berdepan masalah keyakinan diri terhadap bentuk badannya.

Ketika itu, obsesi Deborah terarah kepada membentuk tubuh badan langsing yang melampau sehingga dia menyedari perkara tersebut hanya akan mengundang masalah kepadanya.

Alternatif cantik

Akui Deborah, alternatif untuk tampak jelita tidak semestinya menerusi pembedahan mahupun suntikan. Cara mudah yang boleh dilakukan wanita seperti bersolek, bersenam dan menjaga pemakanan.

Ujarnya, bentuk tubuh badan seseorang wanita bukan ukuran kecantikan kerana bagi dirinya, wanita yang cantik mesti memiliki tubuh badan yang sihat, cergas dan tahan lasak.

Riadah juga mampu membuatkan tubuh badan menjadi lebih menarik dan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan dalam diri seorang wanita.

Tambah Deborah, bagi mengekalkan seri wajah, amalkan mencuci muka sebelum tidur dan jangan tidur dalam keadaan wajah yang bersolek kerana ia akan memberi kesan kepada kesihatan kulit muka.

Mengaku tiada rahsia kecantikan untuk dikongsikan, Deborah hanya menyarankan golongan wanita agar banyakkan minum air masak serta menolak pengambilan makanan segera.

Tidak dinafikan alternatif yang disenaraikan Deborah bukan lagi perkara baharu malah, telah diketahui umum sejak dahulu lagi tetapi, harus diketahui amalan tersebut perlu dilakukan ketika usia masih muda agar keremajaan diri dapat dikekalkan.

“Jika wajah telah berkedut, sukar bagi kita mengembalikan keremajaan kulit dan ketika itulah kita akan menyesal kerana tidak menjaganya daripada muda lagi.

“Dengan menjaga tubuh badan pada peringkat awal kehidupan membuatkan kita lebih menghargai diri dan belajar menerima ketidaksempurnaan yang dimiliki,” jelasnya.



 
Chatroom