Home » » Bersenam masa berpuasa boleh menyebabkan berat badan naik

Bersenam masa berpuasa boleh menyebabkan berat badan naik

Ramai mungkin cuba membuang tabiat buruk ketika Ramadan termasuk mereka yang berusaha menjadi ‘lebih sihat’ dengan bersenam kerana mempunyai anggapan kurang makan ditambah senaman dapat membantu menguruskan badan.

Bagaimanapun, secara realitinya, anggapan seperti itu boleh menyebabkan kesan sebaliknya hingga menjejaskan kesihatan orang itu dengan serius.

Ada memilih melakukan senaman berat sejurus sebelum berbuka untuk mengurangkan berat badan.

Itu boleh membawa risiko kekurangan air sebelum berbuka terutama ketika bulan suci Ramadan tahun ini jatuh pada musim panas apabila suhu boleh mencecah 50 darjah Celsius.

Jadi, salah jika percaya kurang makan tetapi melakukan senaman berat membantu mengurangkan lemak walaupun mungkin kehilangan berat badan.

Jika kekurangan air berlaku dalam badan, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan sedia ada seperti batu karang lebih menyakitkan.

“Sebagai doktor di unit kecemasan (ER), saya melihat lebih ramai pesakit dengan masalah batu karang dalam buah pinggang ketika Ramadan berbanding tempoh lain setiap tahun kerana ramai orang tidak menggantikan air yang hilang sepanjang hari.

“Perpeluhan berlebihan hanya menambah kepada masalah ini,” kata Dr N Baho yang bekerja di sebuah hospital di sini.

Malah, bersenam ketika berpuasa boleh menyebabkan berat badan bertambah.

“Air dan gula diperlukan untuk metabolisme,” kata seorang lagi doktor yang enggan mendedahkan nama penuhnya.

“Apabila anda berpuasa, metabolisme menjadi perlahan untuk disesuaikan dengan kekurangan makanan. Seterusnya jika anda makan iaitu ketika berbuka, badan akan menyimpan lebih banyak lemak berbanding biasa untuk menyesuaikan diri.”

Selepas bersenam, orang berkenaan akan merasa lebih lapar menyebabkannya makan lebih berbanding biasa. – Agensi



 
Chatroom