Home » » Tip Memasak :Teknik kacau goreng

Tip Memasak :Teknik kacau goreng

Teknik kacau goreng

Kacau goreng adalah satu teknik masakan yang sangat popular di kalangan orang Asia terutamanya masyarakat Cina. Mungkin teknik ini adalah baru bagi anda tapi jika saya sebut stir fry pasti ada yang mengetahui teknik masakan ini.

Sebenarnya kacau goreng adalah menggoreng sambil mengacau-ngacau makanan dalam kuali dengan menggunakan api yang kuat.

Teknik ini boleh digunakan untuk memasak yang berasaskan daging, makanan laut, sayur nasi dan mi.

Kaedah ini dapat memelihara tekstur, rasa dan nutrisi makanan yang dimasak sekiranya ia dilakukan dengan teknik yang betul.

Oleh yang demikian seni masakan ini perlu dilakukan dengan pantas dan cekap kerana api yang kuat boleh menyebabkan makanan yang dikacau tidak masak sekata atau mungkin akan menjadi hangus.

Teknik kacau goreng sangat sesuai untuk dipraktikkan dalam bulan puasa ini kerana makanan dapat disiapkan dengan cepat.

Jadi pada minggu ini mari kita mempelajari cara masakan ini. Pertama sekali sebaik-baiknya gunakan dapur bertekanan tinggi kerana hanya api yang kuat dan besar sahaja sesuai untuk teknik masakan ini. Kemudian anda perlu membeli kuali yang dalam dan luas atau ‘wok’.

Sebaik-baiknya kuali yang tidak mudah melekat supaya makanan yang dikacau mudah dikaup-balikkan semasa menggoreng. Jangan risau kerana teknik kacau goreng masih boleh dilakukan dengan menggunakan kuali biasa dan dapur gas yang ada di rumah.

Bahan-bahan yang hendak digoreng perlulah dipotong dahulu supaya kerja-kerja memasak menjadi mudah dan tidak kelam-kabut untuk mencari bahan-bahan yang diperlukan ketika sedang memasak.

Sekiranya baru hendak memotong sayur ketika menumis bawang saya khuatir bawang akan menjadi hangus sebelum anda sempat habis memotong sayur ataupun daging. Pastikan saiz semua bahan-bahan yang digoreng sama saiznya supaya ia masak dengan sekata.

Jangan potong terlalu besar kerana teknik kacau goreng menggunakan api yang kuat dan cepat. Jadi saiz yang kecil akan cepat masak.

Pastikan minyak dalam kuali betul-betul panas kemudian baru mula menumis bahan tumis seperti bawang supaya aroma yang enak dapat meresap ke dalam masakan yang dimasak.

Sekiranya menggunakan daging, kacau goreng dulu daging sehingga ia masak kemudian baru diikuti dengan sayur. Masukkan sayur yang keras dahulu dan setelah sayur keras hampir empuk baru masukkan sayur yang lembut. Boleh letakkan sedikit air dan tutupkan kuali supaya sayur yang keras cepat masak.

Letakkan sos seperti sos tiram, kicap cair dan apa-apa perisa yang anda suka ketika proses mengacau. Jadi pada minggu ini cubalah resipi yang menggunakan teknik kacau goreng.



 
Chatroom