Home » » Panduan Tip Diet Masa Bercuti/Melancong

Panduan Tip Diet Masa Bercuti/Melancong

Panduan Tip Diet Ketika Bercuti/Melancong

Semasa bercuti pelbagai variasi hidangan unik dan tersendiri yang disajikan di destinasi idaman sering menjadi perosak proses pemakanan sihat ataupun ‘diet’.

Mana tidaknya, kerana akan ada keinginan yang kuat untuk mencuba masakan baru saat bercuti, ia secara tidak langsung berakhir dengan kompromi pada kesihatan.

Untuk memastikan amalan mengambil makanan sihat atau diet anda tetap terjaga saat bercuti, Tip Melancong minggu ini menyenaraikan beberapa langkah yang boleh anda amalkan supaya tetap makan sihat sepanjang percutian anda.

Isi dengan sarapan yang baik

Kebanyakan hotel menawarkan menu sarapan yang sangat baik dengan anda akan dihidangkan banyak pilihan tidak kira secara bufet atau ala carte.

Dek kerana sarapan adalah termasuk dalam kemudahan yang disediakan pihak hotel, nikmatilah apa yang anda inginkan. Ambil banyak jenis buah-buahan dan jus yang tersedia.

Sarapan dengan makanan berat akan lebih baik kerana ia membuatkan anda bertahan untuk beberapa jam dan akan membuatkan anda mengurangkan pe­ngambilan makanan segera, bahkan sebelum anda sampai ke lokasi pertama yang akan anda kunjungi.

Sediakan snek

Siapkan beberapa buah dan sandwic daripada menu sarapan tadi kemudian simpan. Snek ini akan menjadi penyelamat ketika anda tidak menemukan restoran yang baik di sekitar lokasi yang anda kunjungi.

Snek itu juga adalah makanan penyelamat jika satu-satunya restoran yang ditemui itu menawarkan makanan dengan harga lebih mahal daripada kebiasaannya.

Pilih makanan

Ketika bercuti, kita pastinya akan mencuba makanan tempatan di lokasi yang dikunjungi dan tentunya ia tidak dapat dielakkan. Justeru, cuba dan pilih makanan dengan sayur-sayuran atau makanan yang kurang berminyak supaya ia tidak menyimpang daripada kebiasaan pengambilan makanan sihat anda.

Jadi, ketika mencuba piza di Itali misalnya, pastikan anda memilih piza yang lebih banyak sayuran dan hanya sedikit kandungan kejunya.

Dengan memilih makanan, anda boleh merasai banyak menu yang enak dan tetap sesuai dengan pengambilan makanan sihat anda.

Ambil minuman tidak berkalori

Apabila sesekali anda ‘culas’ pada pemakanan sihat, hal yang dapat anda lakukan adalah menjaga keseimbangan diet anda dengan tidak berlebihan pada minuman.

Untuk mengekalkan cara pemakanan yang sihat, cuba dan ambil sedikit minuman soda dan meng­gantikannya dengan jus atau air.

Itu akan membantu anda mengurangkan setidak-tidaknya beberapa kalori daripada pengambilan harian anda.

Berkongsi makanan

Bukan untuk tunjuk baik atau sebagainya, tetapi untuk mengurangkan ukuran jumlah pengambilan makanan anda.

Jadi, ketika anda ingin mencuba tiga jenis kuih-muih yang berbeza, berkongsilah dengan rakan daripada mencuba semua­nya dan tetap saja tidak dapat menghabiskannya.

Dengan begitu, anda tetap dapat mencuba dan tidak mengambil banyak kalori. Ini sangat tepat jika anda ingin mencuba menu baru di tempat yang baru juga.

Ia mungkin remeh, tetapi simpan tip sihat sederhana ini ketika bercuti dan anda akan kembali dengan lebih bahagia serta sihat.

Baju kerja anda juga pastinya akan tetap muat ketika kembali bertugas dan tidak akan nampak ‘berisi’ dalam gambar saat bercuti. Selamat mencuba!

Oleh Suliati Asri
Sumber: Harian Metro 5 Februari 2015



 
Chatroom