Home » » Biografi/Biodata Seniwati Veteran Datin Umi Kalthum (1932-2013)

Biografi/Biodata Seniwati Veteran Datin Umi Kalthum (1932-2013)

Biografi dan Biodata Ringkas Seniwati  Datin Umi Kalthum

Seniwati veteran Datin Umi Kalthum ataupun nama sebenarnya Patimah Bahaudin, merupakan heroin filem Melayu klasik yang terkenal sebagai Putih dalam filem Bawang Putih Bawang Merah (1959).

Allahyarham Umi, yang berasal dari Lenggeng Negeri Sembilan, pernah digelar sebuah majalah antarabangsa sebagai “Wanita Melayu Paling Jelita” di seluruh Singapura dan Malaya.

Umi Kalthum juga merupakan ibu kepada pelakon Noor Kumalasari dan ibu tiri kepada Anita Sarawak.

Tentunya bagi mereka yang mengenali Allahyarham, wajah beliau ketika hayat selalu dihiasi dengan senyuman. Dengan susuk tubuh yang tinggi dan anggun, Umi akan sentiasa dikenang peminat filem dengan karakter sebagai ibu, datin dan ketika mudanya, watak antagonis sehingga dibenci penonton. Apa yang jelas, dialah antara bekas bintang Cathay Keris yang sangat jelita.


Kalau ingin mengimbas latar belakang sebenar Umi, ingin dipetik di sini rencana yang pernah dicatat sendiri oleh penulis untuk siaran Harian Metro pada Ogos 1996. Rencana bersiri itu dihasilkan bagi ruangan bersiri Megastar (kini Jejak Bintang) dalam satu pertemuan khas dengan beliau di Kuala Lumpur.

Antara tulisan itu menyebut, pada Disember 1956, peminat filem Melayu dikejutkan dengan kenyataan Umi yang mengeluh kecewa dia rasa cukup terhina. Kenyataan ini dilontarkan selepas Umi terpilih oleh majalah antarabangsa terkemuka, Life, sebagai wanita Melayu paling jelita di seluruh Singapura dan Malaya.

Awalnya, gambar Umi diabadikan jurugambar profesional Life, Phillipe Halsman yang ketika itu ditugaskan mencari wanita tercantik di seluruh dunia.

Phillipe yang terpandang Umi dalam satu majlis koktel, begitu kagum dengan kejelitaan aslinya lalu membuat sesi fotografi di Changi, Singapura.

Sesudah terpampang aksi Umi yang berkemban selain berkebaya dengan sarung batik, Umi mula menjadi bahan bualan panas pelbagai pihak daripada golongan bangsawan hingga penunggu kedai kopi. Ramai kagum dengan Umi dan tidak kurang pula mencaci.

“Ketika itu, saya memang menjadi sasaran kaum wanita yang mengecam hebat perbuatan saya berposing untuk Life. Sebenarnya aksi saya itu bukanlah sesuatu yang keterlaluan kerana dalam filem pun saya pernah berkemban.

“Lebih mengecewakan, cakap-cakap buruk itu juga datang daripada segelintir aktres dalam dunia perfileman di Singapura. Saya rasa malu dan terhina tetapi bersabar saja,” imbas Umi.

Menurut Umi, selain Life, sebuah majalah fesyen di Australia juga pernah memberikannya pengiktirafan yang hampir sama ketika zaman emasnya dulu.

Yang pasti, ketrampilan Umi dalam dunia perfileman cukup memberi kesan. Gelaran perempuan jahat, tukang hasut serta ibu tiri sudah lali di telinganya hingga sukar mengingati watak-watak baik dalam filem klasik kalau dibandingkan dengan penampilannya dalam dekad 1980-an dan 1990-an yang lebih keibuan.

Mendedahkan punca kenapa dia sukakan peranan jahat, Umi berkata: “Saya sebenarnya malu atau kekok membawa peranan romantik. Jadi untuk mengelakkan diri daripada berpeluk-peluk dengan pelakon lelaki dalam filem, saya rela jadi jahat. Lagipun peranan jahat memang mencabar dan memberi kepuasan.”

Selain itu, Umi juga menjelaskan dia tidak gemar watak romantik kerana ketinggiannya, 1.66 meter (5 kaki 6 inci), memberi masalah kepada beliau untuk mendapat pasangan hero yang secocok ketika itu.

Antara filem terawal lakonannya adalah Dahlia, Buluh Perindu dan Kampung Nelayan. Ini disusuli banyak lagi filem seperti Bawang Putih Bawang Merah, Pontianak Gua Musang, Dang Anom, Jula Juli Bintang Tujuh, Raden Mas, Mega Mendung, Yatim Mustaffa, Bukan Salah Ibu Mengandung, Dendang Perantau, Menanti Hari Esok, Tiada Esok Bagimu, Esok Untuk Siapa dan Abang.

Drama TV juga dihiasi dengan lakonan beliau seperti Selasehku Sayang, Terbang Bangau, Pulang dan Cindai. Melalui Pulang, Umi pernah menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Sri Angkasa.

Umi Kalthum dilahirkan di Kampung Tengah, Lenggeng, Negeri Sembilan pada 18 Oktober 1932. Dia anak tunggal kepada pasangan Allahyarham Bahaudin Baginda Mohd Aris dan Allahyarham Rokiah Sutan Mohd Zain.

Umi atau nama manjanya Som, akui dibesarkan dengan penuh kemanjaan daripada kedua-dua orang tuanya. Namun belum puas Umi menikmati belaian kasih sayang, ayahnya, seorang inspektor kesihatan, meninggal dunia kerana menghidap sejenis penyakit usus.

Sesudah ayah meninggal dunia, tinggallah Umi yang ketika itu berusia tujuh tahun bersama ibunya di sebuah kuarters di Seremban. Bagi menyara kehidupan mereka dua beranak, Rokiah terpaksa mengambil upah menjahit baju dan menyulam.

Dari segi pengajian, Umi mendapat didikan awal di Sekolah Melayu Rahang. Bagaimanapun, apabila Jepun menjajah Tanah Melayu, Umi dibawa neneknya menetap selama empat tahun di Bukit Tinggi, Sumatera.

“Di sana, saya belajar pula di sebuah sekolah dan mendapat ramai kawan. Selepas British kembali ke Malaya, kami pun pulang semula ke sini,” kata Umi.

Apabila usianya 16 tahun, Umi mendapat peluang memasuki Maktab Perguruan Melaka tetapi ibunya menghalang kerana menganggap dia akan kembali ke ceruk dapur walaupun belajar tinggi-tinggi. Walaupun terbayang-bayang menjadi guru, hasrat itu Umi pendamkan saja kerana tidak sampai hati berpisah dengan ibunya.

Namun tiada siapa yang menyangka lawatannya ke Singapura dengan seorang rakan, Siti pada 1951, mengubah sejarah hidupnya selepas itu.

“Saya ke sana sekadar makan-makan angin. Namun kisahnya menjadi lain kerana bapa saudara Siti berkawan rapat pengusaha filem Mendiang Ho Ah Loke.

“Ketika di sana, Ah Loke terpandang saya lalu mempelawa saya berlakon. Saya ingatkan dia melawak saja tapi selepas seminggu pulang ke Malaya, saya menerima telegram daripada Ah Loke yang mengajak saya pergi lagi ke Singapura.

“Ketika itu perasaan saya berbelah bagi. Saya tahu ibu pasti menghalang kalau bersuara tentang berlakon. Namun dengan cekal hati, saya cuba memujuk-mujuk ibu supaya memberi peluang walaupun ibu berkata keturunan kami tidak ada yang menjadi anak wayang.

“Selepas puas berbincang dan perang mulut, ibu akhirnya setuju temankan saya berjumpa Ah Loke,” kata Umi.

Kebetulan Ah Loke berkawan rapat dengan Allahyarham S Roomai Noor. Atas dasar persefahaman jugalah kedua-dua mereka menubuhkan Keris Film yang akhirnya berkembang menjadi Cathay Keris.

“Mulai detik itulah saya mula berkawan rapat dengan Roomai Noor. Apatah lagi Ah Loke selalu menyuruh Roomai Noor temankan saya ke sana ke mari, perkenalan kami terus bertukar menjadi sayang,” katanya yang berkahwin dengan Roomai Noor pada 1953 selepas aktor itu berpisah dengan Allahyarham Siput Sarawak.

Umi dikurniakan lapan anak (termasuk dua daripada perkahwinan pertamanya) iaitu Noraini, Muhammad, Noor Salawati, Noor Kumalasari, Sonadi Noor, Noor Latiff, Noor Jumaaton dan Nurul Mukmin serta mempunyai 22 cucu dan seorang cicit.

Seniwati Veteran Datin Umi Kalthum meninggal dunia tanggal 15 Ramadan bersamaan 24 Julai 2013 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Klang Gate, Kuala Lumpur.



 
Chatroom