Home » » Komplikasi kehamilan umur lewat (lebih 35 tahun)

Komplikasi kehamilan umur lewat (lebih 35 tahun)

Kehamilan lewat usia

Kehamilan pada umur lewat sudah menjadi fenomena biasa kerana lelaki dan wanita berkahwin lewat. Dalam hal ini, sudah tentu mereka juga akan memulakan keluarga pada umur yang lewat. Mereka hendaklah mengetahui risiko dan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil semasa kehamilan pada umur sebegini.

Komplikasi kehamilan pada umur lewat (melebihi 35 tahun) termasuklah wanita berisiko untuk menjalani pembedahan Caesarean semasa kelahiran, kelahiran dengan bantuan peralatan forseps atau vakum, kelahiran sebelum masanya, kemungkinan janin meninggal, kelahiran bayi dengan sindrom down, keabnormalan janin yang bercorak genetik, keguguran secara spontan, kehamilan bayi kembar, kejadian plasenta previa dan kematian perinatal.

Selain itu, wanita juga akan berhadapan dengan penyakit diabetes mellitus (kencing manis) dan hipertensi (darah tinggi) yang boleh memudaratkan kehamilan, perdarahan yang banyak selepas kelahiran, kelahiran dan mungkin bayi yang dilahirkan kurang berat badannya.

Jika seseorang wanita tergolong dalam golongan ini, dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga. Apabila haid tidak datang, pemeriksaan ujian kehamilan dengan segera perlu dilakukan dan jangan meninggalkan sebarang janji temu dengan doktor mengikut jadual yang sepatutnya.

Pengambilan vitamin seperti asid folik dalam tempoh dua atau tiga bulan sebelum hamil untuk menghindari pembentukan janin yang tidak sempurna.

Wanita harus mengawasi berat badan, memakan makanan yang pelbagai dan berkhasiat, mengambil sumber kalsium secukupnya (sama ada daripada produk susu dan soya), mengurangkan pengambilan kafein dan meninggalkan tabiat buruk seperti merokok serta minuman beralkohol).

Lakukan senaman yang bersesuaian untuk kekal aktif dan berbincang dengan doktor tentang ujian untuk mengesan keabnormalan atau sindrom down pada janin.

Banyak kajian di dunia menunjukkan terdapat perkara positif daripada perkahwinan dan kehamilan pada umur yang lebih lambat. Ini termasuklah wanita menjadi lebih matang, realistik, pasti dan bersedia untuk mendapatkan anak.

Ibu-ibu pada umur sebegini lebih menyedari akan kesihatan harian keluarga mereka dan penyusuan susu ibu lebih dipraktikkan. Dari segi ekonomi pula, anak-anak yang dilahirkan oleh ibu tersebut mendapat faedah kesihatan yang lebih menyeluruh ditambah lagi dengan kemantapan gaya hidup setelah pencapaian kerjaya akan memfokuskan arah tujuan anak mereka. Justeru, kehamilan pada umur yang lebih lambat meletakkan bakal ibu dalam risiko yang lebih tinggi. Mereka akan berhadapan dengan komplikasi.

Namun begitu, majoriti wanita yang lebih berumur kini berjaya melalui kehamilan yang sihat berbanding dengan masa dahulu. Oleh sebab itu, saya mengharap agar janganlah runsing. ~ Metro



 
Chatroom