Home » » Rahsia amalan bersugi ( bersiwak) - Sunnah Rasulullah

Rahsia amalan bersugi ( bersiwak) - Sunnah Rasulullah

Rahsia amalan bersugi ( bersiwak) - Sunnah Rasulullah

Sunnah Rasulullah s.a.w jika diamalkan pasti membawa manfaat dalam kehidupan seharian.

Antara amalan yang terbukti hasil kajian saintifik moden ialah kebaikan bersiwak.

Pakar sains kesihatan moden termasuk dari barat memperakui amalan bersiwak paling baik dalam memantapkan kualiti kesihatan diri.

Kajian dilakukan sekumpulan pakar jantung di Veterans General Hospital, Taipei, Taiwan yang diketuai Emily Chen berjaya menyingkap rahsia kebaikan membersihkan gigi.

Dr Chen berkata, membersihkan plak pada gigi secara rutin adalah satu cara mencegah serangan strok dan penyakit jantung.

Kajian itu merumuskan, sekiranya terdapat jangkitan pada gigi, keadaan itu boleh memudaratkan seseorang dan meningkatkan risiko diserang penyakit jantung.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Siwak dapat membersihkan mulut dan membuat Tuhan senang.” (Hadis riwayat Bukhari dari Aisyah).

Begitulah hebatnya Rasulullah sehingga isu pemeliharaan dan penjagaan kesihatan diambil berat terhadap umatnya.

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kalaulah tidak memberatkan bagi umatku, maka aku akan menyuruh mereka untuk bersiwak setiap kali ingin mendirikan solat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Imam Abu Daud, Muslim dan an-Nasai meriwayatkan ayah Miqdam bin Syarih ada mengatakan, yang dia bertanyakan kepada Aisyah, apakah yang dilakukan Rasulullah pertama sekali jika memasuki rumah: Jawab Aisyah, “Bersugi (bersiwak)”.

Malah, semasa menjalani ibadah puasa Rasulullah sering bersiwak. Ini adalah sunnah yang bukan saja mendapat pahala, malah mendatangkan manfaat besar untuk kesihatan.

Imam Ahmad melaporkan berkenaan kerapnya Rasulullah bersiwak walaupun dalam keadaan berpuasa. Daripada Ibnu Amir bin Rabi’ah, “Saya melihat Rasulullah berkali-kali bersiwak dalam keadaan berpuasa tidak dapat saya hitung dan kesan.”

Ketika berpuasa, mikrobakteria cepat membiak di dalam mulut seseorang.


Sebenarnya dalam mulut manusia terdapat cecair ludah melekat di bahagian lelangit dan gigi.

Keadaan itu akan menghasilkan satu lapisan yang sangat halus sehingga mikrobakteria melekat dengan cepat sekali. Oleh itu, lelangit dan gigi sangat perlu kepada penjagaan sempurna setiap hari.

Mulut dan gigi adalah kurniaan Allah yang diciptakan khusus bagi kemudahan hamba-Nya dalam sistem pencernaan. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Bersiwaklah (dalam berus) sisa-sisa makanan antara gigi-gigi kerana (membersihkan sisa-sisa makanan semacam itu) termasuk kebersihan dan kebersihan itu membawa kepada iman dan iman itu bersama-sama pemiliknya di syurga.” (Hadis riwayat at-Tabrani)



 
Chatroom